Inilah perkenalan kita….

Kekadang bicara menjadi kelu, bahasa tak menentu. Jadi inilah medium yang sesuai untuk melunaskan kata yang bersemadi di dasar hati. Kerna bahasa kita amat seni. Keras jika dilontar sebagai bicara tetapi menyentuh hati jika dibaca.

Ini nukilan lama yang pernah menghiasi majalah Gelagat (majalah humor bermotivasi pada era 90-an) dan sudah diubah suai kembali oleh saya. Saya menyelitkannya di sini bertepatan pada situasi kini yang sama pada masa saya menulis nukilan ini. Bermakna isu global ini adalah isu semasa yang tak pernah bernoktah dari dulu hingga kini. Cuma pada era yang berbeza dan penggunaan media massa yang berbeza.

Sebuah perkenalan dari saya. Fahamilah ia dan kenalilah saya.

Perang Kita Dan Mereka

Mampukah tersenyum tanpa bicara,
otak kian serabut meratah dunia,
hidup sesak dek nafsu serakah,
dalam jiwa yang kian parah,

Zaman mengorak langkah,
abdi terus alpa merebut harta yang sejengkal cuma,
impian bak seluas segara,
mimpi bak setinggi ancala,
indah tak secantik mana,

Bilakah akan berakhir,
irama perang pergi bak semilir,
nada sengketa surut mengalir,

Relakah kita,
ongkos sengaja dipunah begitu sahaja,
silang mercun bagai tak sedar cerita azab dunia di sebelah sana,
lupa pada nilai bumi merdeka,
ingatlah pada beza perang kita dan mereka.